mutakhir

Jana hasil RM30j

Oleh Garret Dawum

Serdang: Sasaran 500,000 pengunjung mampu menjana pendapatan di antara RM20 juta hingga RM30 juta sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 yang diadakan pada 28 September hingga 1 Oktober depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, acara empat hari itu menampilkan 850 gerai pameran dan jualan dengan tema Makanan Kita, Masa Depan Kita.

“Pengisian program menarik dalam HPPNK menarik minat pengunjung untuk memeriahkan acara.

“Ditambah kementerian memperkenalkan Festival Makanan Malaysia (MFF) yang diadakan serentak pada program itu sebagai ekspo hidangan kepelbagaian produk makanan dalam usaha memartabatkan industri makanan di Malaysia,” katanya selepas majlis prapelancaran HPPNK 2017, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Shabery, menerusi HPPNK pihaknya mengiktiraf wira tani negara dan memberi anugerah kepada pencapaian terbaik peladang, penternak dan nelayan yang menghasilkan produk serta inovasi pertanian.

“Anugerah diberikan berdasarkan kejayaan mereka membantu menjamin keselamatan dan kedaulatan makanan.

“Kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) memberi kita keyakinan untuk menjadikan HPPNK kali ini lebih besar daripada edisi sebelumnya.

“Kali ini, kelainan ditampilkan dalam pengisian program mampu menarik minat orang ramai menyertai bidang pertanian khususnya belia,” katanya.

Sementara itu, katanya, MFF menghimpunkan hidangan terbaik dari Malaysia dan pengunjung berpeluang menikmati sajian yang disediakan.

“Selain itu, pengunjung mendalami situasi pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan di Malaysia dengan menerapkan elemen berinspirasikan makanan, masakan, teknologi makanan, hidangan, agro pelancongan dan komuniti.

“Sememangnya, pembangunan dalam penghidangan dan penyajian akan menjadi nilai tambah terbesar dalam industri agro makanan,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2017 @ 6:13am
d