mutakhir

4 mortar bersusun di rumah ditinggalkan

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: “Ketika mahu membersihkan rumah untuk diwakafkan sebagai sekolah tahfiz, seorang daripada ahli keluarga terkejut apabila menemui bom jenis mortar serta flare di sebuah rumah berusia lebih 100 tahun,” kata Zuriah Md Zain, 75.

Dia menceritakan penemuan bahan letupan terbabit di rumah Allahyarham kakaknya di Kampung Sikai, Seri Menanti, di sini, kelmarin.

Zuriah berkata, rumah itu ditinggalkan kosong sejak lebih 30 tahun kerana kebanyakan ahli keluarga menetap di luar daerah.

“Suami arwah kakak saya adalah bekas tentera berpangkat tinggi dan meninggal dunia 19 tahun lalu. Meskipun anak-anak sering pulang menjenguk di rumah ini, tetapi mereka tidak pernah masuk ke dalam dan hanya sekadar membersihkan kawasan luar.

“Sehinggalah semalam (kelmarin) menantu lelaki arwah berusia 62 tahun pulang memeriksa dan mengemas rumah untuk diwakafkan sebagai sekolah tahfiz,” katanya.

Menurutnya ketika pemeriksaan dilakukan dalam sebuah bilik di tingkat bawah, lelaki itu menemui empat bom dalam keadaan tersusun di tepi dinding.

“Kewujudan bom itu memang di luar jangkaan dan kami tidak pernah mengetahui kerana rumah itu sudah lama dibiarkan kosong. Susulan itu, menantu lelakinya membuat laporan polis di Balai Polis Seri Menanti, jam 5 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom berkenaan.

“Pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban mengesahkan empat butir bom jenis Mortar 81mm HB Type 62 Clock Fuse dipercayai masih aktif.

“Manakala, hasil pemeriksaan di sebuah kotak yang lain telah menemukan tiga butir Flaire Cahaya dan salah satu sudah tidak aktif,” katanya.

“Pasukan UPB membawa keempat-empat butir bom terbabit ke padang tembak di Senaling untuk pemusnahan pada jam 8.30 malam,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2017 @ 6:27am
d