mutakhir

Edisi kedua lebih menarik

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press (m) Bhd (NSTP) kembali dengan siri kedua tahun ini, menyediakan pelbagai aktiviti menarik di Komtar JBCC, di sini, selama tiga hari bermula hari ini.

Seperti penganjuran di lokasi sama tahun lalu, pameran kali ini disertai 12 pemaju termasuk Johor Land, Andaman Group, Astaka Padu, SKS Cocoa Valley dan YPJ Builders.

Pengarah Projek Myrumah, Mohd Haslan Abdul Abbas berkata, edisi kedua itu adalah kesinambungan daripada acara diadakan di Kuala Lumpur, Mac lalu, dengan memberi peluang kepada orang ramai dan pembaca akhbar kumpulan NSTP mendapatkan kediaman mampu milik pada harga berpatutan.

Katanya, beberapa penceramah terkenal dan pakar hartanah dijangka hadir, antaranya Vince Chia (Diligent Planners Sdn Bhd), Aziz Ahmad (Hartanahguru.com), Alan Poon (Superior Wealth Mastery), Dr Daniele Gambero (REI Group of Companies) dan Khalil Adis (Khalil Adis Consultancy).

“Program berkenaan dibuka kepada orang ramai secara percuma bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam, selain menyediakan pelbagai tawaran menarik kepada pengunjung bertuah.

“Pameran juga menyediakan platform kepada pembeli rumah pertama mendapatkan rumah impian pada harga berpatutan di bawah RM500,000,” katanya.

MyRumah 2017 turut menyasarkan golongan pertengahan dan kumpulan berpendapatan rendah, selain berkongsi pengetahuan dengan pakar hartanah terutama berkaitan isu hartanah, manfaat pelaburan dan pinjaman perumahan.

Pameran Hartanah MyRumah terbuka kepada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat produk hartanah bersesuaian, malah mempunyai ahli panel untuk sesi perkongsian berkaitan hartanah.

Menerusi sesi ini, orang ramai berpeluang bertanya pelbagai isu berkaitan hartanah antaranya unjuran hartanah 2017 dan strategi pelaburan.

Tahun lalu, pameran sama berjaya menjual lebih 50 unit kediaman dengan nilai RM30 juta serta menarik kehadiran 30,000 pengunjung.

Disiarkan pada: May 5, 2017 @ 5:23am
d