mutakhir

Bersatu dalam seragam sama

Oleh Daripada Mohamad Azim Fitri Abd Aziz di Nepal

Kathmandu (Nepal): Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Nepal di Basantapur, di sini, semalam.

Lawatan diketuai Pengarah JBPM Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin sempena Hari Bomba Sedunia yang disambut setiap 4 Mei.

Abdul Wahab berkata, kunjungan itu satu platfom mengeratkan hubungan badan beruniform berkenaan walaupun berbeza budaya dan sosial.

“Lawatan ini adalah satu usaha yang baik buat kami (JBPM) kerana selain dapat bertukar pandangan dan pengetahuan ia juga membolehkan kami belajar sesuatu daripada mereka terutama dalam operasi menyelamat.

“Saya harap lawatan ini akan mengeratkan hubungan kami terutama dalam pertukaran idea dan ilmu,” katanya kepada wartawan, di sini.

Lawatan disertai 20 pegawai dan anggota JBPM itu disambut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kathmandu, Kishor Kumar Bhattarai.

Lawatan selama dua jam itu juga disertai pengamal media dari Malaysia dan kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia selepas semua 62 peserta menamatkan cabaran pendakian di Kem Induk Annapurna yang terletak di Banjaran Himalaya, Ahad lalu.

Sementara itu, Kishor Kumar berkata, walaupun datang daripada pelbagai budaya dan bertutur dalam bahasa berlainan tetapi sebagai anggota bomba mereka tetap disatukan dalam pakaian seragam yang sama.

“Lawatan ini adalah yang terbesar pernah kami terima dari jabatan bomba luar negara. Kami tidak menyangka ia dapat dilakukan pada hari bomba sedunia kerana ia amat bermakna buat kami,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2017 @ 5:36am
d