mutakhir

Bangga anak pertama dalam keluarga ke menara gading

Oleh myMetro

Putrajaya: “Saya kecewa apabila gagal menerima sebarang tawaran ke universiti awam (UA) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun itu bukan penghalang saya bangkit menuntut ilmu,” kata Pelajar Terbaik Keseluruhan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Orang Asli, Suraya Sepit.

Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu berkata, dia membuat keputusan menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong, Pahang bagi merealisasikan impian menjadi anak pertama di dalam keluarga menjejakkan kaki ke universiti.

“Pada mulanya ada rasa kekok bergaul dengan orang luar, namun saya kuatkan semangat berdepan dengan mereka.

“Semangat dan dorongan keluarga, guru serta rakan adalah sumber inspirasi untuk saya kembali bangkit mengejar cita-cita menjadi seorang guru.

“Syukur, kesungguhan memasuki kelas tambahan dan belajar secara berkumpulan banyak membantu sehingga dapat anugerah ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli 2016 di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), di sini, semalam.

Suraya yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.58 berkata, belajar bersama rakan banyak membantu, selain tidak pernah ponteng kelas tambahan walaupun mewakili Pahang dalam sukan bola baling di peringkat kebangsaan.

“Keputusan untuk melanjutkan pengajian ke tingkatan enam adalah tepat dan kini membuahkan hasil.

“Saya tidak sangka berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Ini adalah hadiah untuk ibu bapa yang banyak berjasa dan berkorban,” katanya.

Sementara itu, Pelajar Terbaik Keseluruhan SPM kategori Orang Asli, Eleena Syuhada Amani Williams Hunt berkata, pembahagian masa dan disiplin adalah satu perkara yang penting bagi setiap pelajar.

“Alhamdulillah, setiap penat lelah saya terbalas dengan kejayaan ini dan lebih bangga melihat senyuman ibu bapa apabila saya naik ke pentas menerima anugerah ini.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor kerana meminati bidang sains terutama biologi dan kimia,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2017 @ 5:51am
d