mutakhir

Larian bendera diteruskan di Selangor

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

Shah Alam: Larian Bendera UMNO sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 akan diteruskan di Selangor pada 8 dan 9 Mei ini selepas menerima bendera itu dari empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan Pahang.

Setiausaha UMNO Selangor Datuk Johan Abd Aziz berkata, UMNO negeri itu bertanggungjawab menerima dan menyerahkan bendera itu kepada UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 10 Mei ini.

Beliau berkata, larian itu sempena sambutan ulang tahun parti itu bakal menjadi sejarah kerana keunikan penerimaan dan penyerahan membabitkan empat penjuru Selangor iaitu utara, timur, selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“UMNO Bahagian Hulu Selangor akan menerima bendera daripada UMNO Perak manakala UMNO Gombak akan menerima bendera itu daripada UMNO Pahang.

“Manakala dari selatan, kita menerima bendera daripada UMNO Negeri Sembilan di Beranang dan satu lagi bendera dari Sabah kita terima di KLIA,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua bendera itu akan dibawa ke UMNO Wilayah Persekutuan pada 10 Mei dan majlis akan disempurnakan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.

“Bagi pihak UMNO Selangor, pelepasan akan dibuat di Shah Alam kemudian ke Kelana Jaya dan terus ke Subang,” katanya.

. Dari Subang, kita ke Petaling Jaya Selatan seterusnya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk sambutan besar-besaran di sana,” katanya.

Beliau berkata, dijangka 22,000 ahli UMNO Selangor hadir pada acara kemuncak di Stadium Bukit Jalil 11 Mei ini.

Disiarkan pada: May 5, 2017 @ 11:49pm
d