mutakhir

Tindakan pantas jiran bunyikan hon selamatkan enam sekeluarga

Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Tindakan pantas jiran membunyikan hon menyelamatkan enam sekeluarga daripada rentung dalam kebakaran di Jalan Permas 14, Taman Permas Jaya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, seorang pemandu kereta dikatakan melihat sebuah Perodua Myvi di luar rumah berkenaan terbakar sebelum membunyikan hon berulang kali untuk memberikan amaran kepada penghuni.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Andy, 30-an, berkata, dia dikejutkan dengan bunyi hon sebelum melihat api marak dan merebak ke parkir rumah jirannya.

Katanya, dia terus menjerit mengarahkan keluarga keluar rumah dan memberitahu jiran lain untuk menyelamatkan kereta dan motosikal masing-masing.

“Mangsa berusia 30-an tinggal bersama isteri, dua anak perempuan berusia empat tahun dan bayi, ibu dan ibu mentuanya lingkungan 50-an hingga 60-an melarikan diri menggunakan pintu belakang.

“Pada masa sama, jiran menghubungi bomba dan polis dan kepantasan anggota bomba tiba berjaya memadamkan kebakaran.

“Ketika berbual dengan mangsa yang hanya dikenali sebagai Fan, dia mendakwa kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya mengesan sebuah motosikal berlegar-legar di depan rumahnya sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Disiarkan pada: May 6, 2017 @ 12:14am
d