mutakhir

Pecah amanah RM43,698.55

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengurus besar kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah kemudahan perubatan yang tidak ditanggung MAHB bernilai RM43,698.55 dua tahun lalu.

Md Shamsuri Md Isa, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengurus Besar Kanan syarikat berkenaan yang diamanahkan dengan kemudahan rawatan perubatan tiada had nilai didakwa melakukan pecah amanah iaitu menerima kemudahan rawatan perubatan pembedahan ‘Laparoscopic Sleeve Gastractomy’ di Prince Court Medical Centre Sdn Bhd pada 19 Disember 2015. Kemudahan rawatan itu tidak ditanggung MAHB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Prince Court Medical Centre Sdn Bhd, Jalan Kia Peng, di sini pada 18 Disember 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S Thangavelu, manakala tertuduh diwakili peguam Cheow Wee.

Terdahulu, Thangavelu menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun Cheow memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang menghadapi empat pertuduhan memperdayakan MAHB berhubung penggunaan kad kredit rasmi syarikat untuk tujuan peribadi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, kelmarin telah diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Cheow memberitahu mahkamah anak guamnya menghidap pelbagai penyakit termasuk sakit jantung, buah pinggang dan lelah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 6, 2017 @ 12:18am
d