mutakhir

Jiwa kental mutiara ilmu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Tugas mendidik tidak boleh berhenti serta tiada noktahnya, malah seorang guru itu perlu kuat dan tidak sesekali berputus asa dalam berdepan cabaran membimbing anak bangsa.

Biarpun perlu menempuh kesukaran, termasuk membabitkan masalah disiplin anak didik, guru perlu memahami serta menerima hakikat iaitu tugas mereka sudah tentu tidak boleh lari daripada cabaran.

Itu antara kata-kata pendorong semangat oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia Datuk Dr Haili Dolhan yang pernah dinobatkan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2015.

Beliau yang menceburi bidang pendidikan sejak 1970 mengakui, dalam memainkan peranan sebagai pendidik, elemen kreatif perlu ada ketika menjalankan tugas harian mengajar di sekolah, sekali gus menarik minat pelajar terhadap bidang dan topik dipelajari.

“Peribahasa mengatakan ‘belakang parang jika diasah lagikan tajam’, jadi guru tidak boleh berputus harapan walaupun ada anak murid mereka itu manja atau berdepan masalah disiplin di sekolah.

“Lumrah seorang anak itu nakal, namun kenakalan pada zaman dulu serta masa kini berbeza dan guru perlu faham hakikat tugas mereka serta tidak boleh menyalahkan sesiapa,” katanya pada sesi temu bual khas, di sini, semalam.

Berkongsi perbezaan cabaran profesion perguruan dulu dan sekarang, Dr Haili berkata, ia berbeza sejajar dengan perubahan dan peredaran masa.

“Jika dulu, ia lebih kepada peralatan pembelajaran selain kekurangan dihadapi pelajar (dari segi kewangan), tetapi pada masa kini, mereka ini banyak terdedah dengan pelbagai perkara, malah keselesaan dari segi kemudahan juga boleh didapati.

“Selain itu, pada waktu dulu pelajar banyak bergantung kepada guru (dari segi maklumat pelajaran) namun, kini mereka boleh memperoleh daripada pelbagai sumber termasuk Internet,” katanya.

Justeru, beliau berkata, guru perlu lebih bersedia dengan cabaran yang dihadapi selain mengenal pasti cara serta teknik pengajaran sesuai dengan peredaran zaman.

“Guru perlu mempunyai kepakaran menggunakan teknologi maklumat malah, mereka juga perlu menjadi seorang yang merangsang pendidikan, sekali gus tidak boleh seperti dulu iaitu memberi nota pelajaran kepada pelajar, tetapi lebih banyak perbincangan (di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran).

“Malah, mereka juga tidak boleh berasa puas hati dengan apa yang diperoleh ketika di universiti dan banyak perlu dipelajari guru dari masa ke masa selaras dengan perkembangan baru dan sentiasa mencari cara untuk menarik minat pelajar,” katanya.

Berkongsi mengenai ciri-ciri perlu ada untuk seseorang ‘memasuki’ profesion perguruan, Dr Haili berkata, individu itu perlu mempunyai jiwa guru malah ia penting selain menyukai serta menyayangi anak didik mereka.

“Guru perlu sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa sama ada di sekolah, negara serta luar negara, sekali gus mereka perlu mengetahui banyak perkara lebih-lebih lagi dalam keadaan teknologi masa kini, pelajar boleh mendapat pelbagai maklumat dari luar.

“Pada masa sama, guru juga tidak boleh hanya tahu bidangnya saja, tetapi perlu mengambil maklum terhadap banyak bidang kerana mereka ini model ikutan termasuk dari segi cara berpakaian dan percakapan,” katanya.

Katanya, ini bermakna, tugas guru bukan hanya mendidik semata-mata, tetapi untuk menjadikan pelajar itu memahami, menghormati serta menjiwai ilmu selain menjalani kehidupan berdasarkan ilmu.

Ditanya mengenai sejarahnya terbabit dalam bidang perguruan, Dr Haili berkata, ia bermula selepas menamatkan persekolahan di tingkatan lima serta menjadi guru tidak terlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Matu Daro, Matu di Sarawak pada 1970 dan pelajar kebanyakannya terdiri daripada anak nelayan serta petani yang jauh ketinggalan dalam pendidikan.

“Saya dapat merasai kepuasan sepanjang memberi pendidikan kepada mereka dan daripada situ, saya lihat keperluan terutama anak Bumiputera yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Ayah juga seorang guru, tetapi pada awalnya saya tidak begitu tertarik dengan bidang perguruan, namun selepas menceburkan diri barulah merasai kepuasan terhadap profesion ini.

“Idola saya dalam bidang ini ialah guru terdahulu yang tidak tahu erti penat lelah ketika masih di bangku sekolah yang sedikit sebanyak turut mempengaruhi dalam kehidupan ini,” katanya.

Menyentuh mengenai tema sambutan Hari Guru iaitu Guru Pembina Bangsa Negara, beliau menyifatkan, ia pengiktirafan kepada golongan pendidik di seluruh negara.

“Di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, satu daripada aspirasi itu iaitu menanam semangat cinta kepada tanah air, jadi tugas guru itu adalah penting dalam membina semangat cinta negara,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2017 @ 12:21am
d