mutakhir

Tenang dalam gelora [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Basilan (Mindanao): Menjejakkan kaki ke kepulauan Basilan yang menjadi antara lokasi tumpuan tentera Filipina dalam operasi pembersihan anasir Daish dan pemburuan berterusan pemimpin dan anggota kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di kawasan ini membuatkan saya berfikir dua kali.

Namun, demi menyantuni Muslim Mindanao yang juga saudara seagama, semangat dikuatkan dan hanya jutaan doa dipanjatkan supaya misi anjuran EZ Qurban Sdn Bhd itu berjalan lancar tanpa sebarang musibah.

Jujurnya saya menyimpan hasrat untuk datang ke pulau penuh ‘misteri’ ini dan kawasan tumpuan propaganda media barat sebagai kubu kuat militan, pengganas ataupun kegiatan penculikan tetapi bukan dalam masa terdekat.

Kesempatan menjejakkan kaki ke kepulauan ini mengubah persepsi saya sepenuhnya, malah mendatangkan kekaguman dalam diri terutama selepas melihat kehidupan dijalani lebih 300,000 penduduknya.

Mana tidaknya, dalam kesempitan hidup, seluruh warganya mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam melayani tetamu.

Warga pulau ini yang sempat saya temui cukup meraikan tetamu selain mengamalkan sikap sederhana dalam percakapan serta pergaulan, berbeza dengan dakyah media barat yang menuduh mereka sebagai pengganas.

Tambahan pula, kebanyakan penduduk di Kampung Tambulig, Kampung Buton dan Kampung Tuburan boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik menyebabkan saya rasa bagaikan berada di Malaysia.

Dalam tempoh 48 jam tinggal bersama mereka, pelbagai aspek kehidupan diamalkan penduduk membawa saya ke satu lembaran baru.

Biarpun dihimpit kekurangan dalam semua aspek, agenda Islam tetap menjadi perkara utama ditegakkan mereka.

Seawal Subuh, berpusu-pusu penduduk mengerjakan solat di masjid atau surau berdekatan.

Terdetik persoalan di hati, di manakah kita dalam soal demikian? Kehidupan anak muda pula didedahkan dalam aspek agama yang sudah menghasilkan puluhan hufaz al-Quran seawal usia 16 tahun walaupun pusat tahfiz hanya mampu menampung 15 pelajar pada satu-satu masa.

Perkara paling menginsafkan saya ialah biarpun dihimpit kemiskinan selain risiko diserang tentera Filipina pada bila-bila masa, mereka tidak pernah merungut.

“Tawakal kepada Allah SWT, hidup tetap tenang di sini,” kata Ali, 23, yang mengakui tidak akan meninggalkan pulau berkenaan.

Katanya, jika dia dan rakannya meninggalkan bumi itu, bagaimana nasib seluruh penduduk lain yang terpaksa berdepan tentera Filipina selain Daish yang mula menyusup masuk.

“Kami kekal dalam kesederhanaan, kekayaan sebenar yang kami kecapi sekarang adalah bergerak bebas serta tenang dalam bumi sendiri, bukan negara asing,” katanya.

Tinjauan saya di beberapa kampung di kepulauan itu mengesahkan perkara berkenaan.

Rata-rata anak muda bebas menjalankan aktiviti mereka dengan gembira walaupun dikawal pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Kawalan dilakukan bagi mengelakkan kemasukan tentera Filipina atau anasir Daish di bumi kesayangan mereka.

Saya mulanya sangkakan kanak-kanak ketakutan dan hanya bersembunyi di rumah dengan serangan bertali arus tentera dan tindakan Daish yang cuba menyusup masuk.

Telahan saya meleset, mereka bermain dan mandi-manda di laut yang belum diterokai dengan penuh kegembiraan tanpa rasa takut.

Sebahagian mereka pula bermain bola keranjang dengan rakan sebaya bagi memenuhi waktu lapang.

Warga tuanya pula sibuk menguruskan pekerjaan sendiri. Ekonomi mereka adalah berniaga, bekerja sebagai pekerja ladang kelapa dan menjadi nelayan bagi mengisi perut diri dan keluarga tercinta.

Disiarkan pada: May 6, 2017 @ 12:40am
d