mutakhir

Sekeping jubin untuk Seville

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: “Ibu bapa di sana sampai terpaksa menggadai harta untuk menghantar anak ke luar negara supaya dapat belajar agama.

“Mereka tak nak hilang agama. Itu hasrat seorang ibu yang saya jumpa di sana,” kata pelakon dan pengacara Irma Hasmie berkongsi pengalaman mengenai masyarakat Islam di Seville, Sepanyol.

Menurutnya, penduduk di negara itu dari segi luaran nampak seperti orang kaya namun sebenarnya mereka adalah orang sederhana bahkan ada yang miskin, duduk di rumah kampung, bekerja sebagai pekebun dan penternak.

“Di Seville ada 25,000 umat Islam. Bukannya tiada masjid di sana. Ada, tetapi masjid yang disumbangkan kerajaan Arab Saudi tidak dibenarkan untuk mengadakan aktiviti lain selain solat.

“Masjid lama pula sudah bertukar menjadi muzium dan gereja.

“Jadi, mereka nak wujudkan masjid dan pusat komuniti sendiri (supaya dapat menggerakkan pelbagai aktiviti),” katanya pada program A Tile For Seville di Pusat Komuniti HAK di Sungai Penchala, di sini, kelmarin.

Turut serta pada program itu artis Singapura Elfaeza Ul Haq dan Naib Presiden Fundacion Mezquita De Sevilla (Wakaf Masjid Seville) Ibrahim Hernandez.

A Tile for Seville atau Sekeping Jubin untuk Seville adalah satu kempen bagi mendapatkan dana untuk pembinaan masjid dan pusat kebudayaan masyarakat Islam di Seville, sebuah wilayah dan bandar terbesar di Andalusia.

Tapak kemudahan itu berada di tengah-tengah bandar Seville iaitu satu kawasan padat dengan monumen bersejarah.

Kempen ini membabitkan kerjasama Fundacion Mezquita De Sevilla dengan pertubuhan Ukhwah for Ummah dan Aksi Cepat Tanggap. Maklumat lanjut mengenainya boleh diakses melalui www.atileforseville.com.

Tujuh ikon bagi kempen ini membabitkan Elfaeza Ul Haq, Oki Setiana Dewi, Dewi Sandra, Faizal Tahir, Suffian Amrin, Farah Asyikin dan Irma sendiri iaitu gabungan artis dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Menurut Irma, bagi pembinaan kemudahan itu sejumlah 16 juta Euro (RM76 juta) diperlukan termasuk bagi pembelian tanah yang dianggarkan menelan kos 9 juta Euro (RM43 juta).

Sementara itu, Elfaeza berkata, pembabitannya dalam kempen itu adalah semata-mata kerana Allah selain rasa kasih sesama masyarakat Islam.

Menurutnya, keadaan di Seville tidak seperti di Malaysia dan Singapura yang ada banyak masjid dan surau.

“Saya berasa sangat bertuah dapat bersama-sama. Misi kami supaya seluruh dunia tahu mengenai kempen ini.

“Islam adalah untuk semua...ia kepunyaan Allah, bukan kepunyaan kita. Jadi, kenapa tidak kita melakukan infak demi Allah,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2017 @ 9:44am
d