mutakhir

Luar tulen dalam palsu

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Klang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas lebih 17,000 unit katrij pencetak tiruan berjenama terkenal bernilai hampir RM600,000 dalam operasi khas, di sini, kelmarin.

Operasi membabitkan 20 anggota KPDNKK bersama lima wakil pemilik cap dagang jenama berkenaan menyerbu empat rumah dan dua premis dipercayai bergiat aktif mengedar katrij pencetak tiruan terbabit di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, serbuan dilakukan hasil aduan daripada pemilik cap dagang serta maklumat perisikan selama tiga bulan.

“Ketika serbuan, dua daripada enam premis berkenaan diduduki lapan pekerja manakala empat lagi tidak berpenghuni.

“Ketika pemeriksaan, kami mendapati hampir 3,000 pelekat pelbagai jenama terkenal seperti Hewlett Packard dan Samsung digunakan untuk menampal kotak katrij pencetak terbabit,” katanya.

Mohd Roslan berkata, 27,000 kotak kosong dipercayai digunakan untuk membungkus semula katrij pencetak tiruan berkenaan turut disita dalam serbuan itu.

“Kita percaya sindiket ini mengitar semula bekas katrij yang tulen dan diisi semula dengan serbuk dakwat pencetak.

“Kemudian ia dibungkus semula menggunakan kotak yang menggunakan jenama tulen dan dijual di pasaran sebagai barangan asli,” katanya.

Menurut Mohd Roslan, semua individu ditahan untuk membantu siasatan manakala pemilik premis yang disyaki dalang utama sedang dikesan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Mohd Roslan berkata, kerjasama antara pemilik cap dagang dan agensi lain akan diteruskan dalam usaha melindungi hak pengguna dan harta intelek milik industri.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, KPDNKK Selangor merampas empat set komputer yang menggunakan perisian cetak rompak bernilai RM32,000 di sebuah premis di Puchong Jaya, di sini, semalam.

Lima anggota KPDNKK Selangor menyerbu premis berkenaan hasil aduan awam serta maklumat risikan.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menggunakan perisian salinan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Disiarkan pada: May 7, 2017 @ 10:11am
d