mutakhir

3 jam beri keterangan

Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Empat lelaki yang ditahan di pekarangan Surau Austin Perdana, Taman Austin Perdana, di sini, jam 1 pagi semalam dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihak berkuasa berpuas hati dengan keterangan yang diambil selama tiga jam.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, keempat-empat lelaki berusia 21 hingga 55 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di surau terbabit ketika jemaah solat Jumaat, kelmarin.

“Bagaimanapun selepas mengambil keterangan mereka selama tiga jam, kami berpuas hati dan membebaskan mereka dengan jaminan polis.

“Tetapi polis meminta masyarakat abaikan apa yang ditulis di media sosial kerana kami sudah menjalankan siasatan dan kes itu dalam keadaan terkawal.

“Kami sudah berjumpa kedua-dua pihak termasuk mangsa dan pengurusan masjid dan melakukan siasatan daripada pelbagai sudut,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan dan Pasaria Persatuan Keluarga Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, polis memantau apa saja yang ditulis dan ditularkan di media sosial dan sekiranya ia boleh menyebabkan keadaan panas, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia atau akta hasutan.

Pada masa sama, Wan Ahmad Najmuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi hingga mengganggu ketenteraman awam.

“Sebenarnya kes ini hanya ditularkan sedangkan orang ramai tidak mendapat maklumat sebenar. Atas sebab itu, pihak polis segera mengeluarkan kenyataan mengatakan keadaan semua terkawal.

“Kita tidak mahu hanya kerana tular, orang membuat perspektif negatif yang tidak baik tanpa memeriksa dengan kita (polis),” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi berkata, buat masa ini hanya empat lelaki terbabit diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan berharap orang ramai termasuk individu terbabit memberi kerjasama dengan tampil memberikan keterangan.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari kelmarin, seorang pemandu Toyota Camry dikatakan membunyikan hon secara berterusan hingga mengganggu ketenteraman ratusan jemaah yang mengerjakan solat Jumaat.

Keadaan itu menyebabkan ada jemaah yang berang dan memukul pemandu berkenaan.

Disiarkan pada: May 7, 2017 @ 10:12am
d