mutakhir

Rakus ratah hasil hutan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Harga mencecah RM800 untuk satu meter padu bagi kayu balak berkualiti seperti meranti dan selangan batu menjadikan sindiket pembalakan haram gelap mata walaupun sedar boleh dikenakan hukuman berat sekiranya tertangkap.

Ketua Unit Operasi dan Siasatan Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Abdul Wahab Ahmad berkata, untuk sekali operasi penebangan yang dijalankan sindiket mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit mengikut balak yang ditebang.

Menurutnya, ia sekali gus menyebabkan sindiket haram terus ‘memburu’ balak berkualiti tinggi dengan jumlah meter padu yang besar kerana mahu mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Ada sesetengah kayu balak yang dikategorikan kurang mahal juga boleh mencecah antara RM300 hingga RM500 bagi setiap meter padu namun bagi balak berkualiti harganya lebih mahal.

“Kayu balak berkualiti seperti meranti dan selangan batu kebiasaannya masih hidup di hutan tebal seperti di Hulu Kapit menjadikan kawasan itu lokasi pilihan kerana sindiket dapat mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit untuk sekali operasi,” katanya.

Abdul Wahab berkata, kerajaan negeri menerusi JHS mengenakan royalti RM65 untuk satu meter padu bagi semua kayu yang ditebang oleh pembalak berlesen.

Beliau berkata, setiap balak yang ditebang perlu mempunyai cap kebenaran JHS yang akan ditandakan pada hujung setiap kayu bagi menunjukkan syarikat yang memiliki lesen membalak sudah membayar royalti kepada kerajaan negeri.

Katanya, hasil yang diperoleh daripada kutipan royalti daripada pembalak berlesen mencecah antara RM500 juta hingga RM600 juta setahun.

“Jika dilihat pada statistik rampasan, jumlah balak yang dirampas kerana tidak dibayar royalti adalah rendah iaitu sekitar satu peratus daripada jumlah keseluruhan, namun apa yang JHS utamakan adalah impak kepada alam sekitar.

“Sindiket menebang pokok tanpa menilai kriteria dan kesesuaian memberi kesan kepada alam sekitar dan ekosistem lain seperti hidupan di hutan dan sungai,” katanya.

Menurut beliau, balak yang berkualiti mengambil masa puluhan tahun untuk hidup, tetapi tindakan rakus pembalak haram hanya mengambil masa beberapa minit untuk menebangnya, sekali gus memusnahkan alam sekitar.

“Tindakan sindiket itu juga memberi impak lain, misalnya pencemaran sungai khususnya di hutan dara pasti akan berlaku jika sindiket menerokai kawasan hutan secara membuta tuli.

“Operasi berterusan akan terus dilaksanakan JHS dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain kerana kami tidak mahu penjenayah alam sekitar ini terus menjadikan hutan di negeri ini sebagai lubuk meraih keuntungan tanpa sedar impak kepada generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, JHS juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjadikan hutan di negeri ini untuk meraih keuntungan mudah dengan mengorbankan alam sekitar, sekali gus menjejaskan flora dan fauna lain.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 10:09am
d