mutakhir

Pokok tumbang halang laluan

Melaka: Aliran lalu lintas di Jalan Sungai Udang, di sini, tergendala selama 40 minit berikutan kejadian pokok tumbang yang menghalang kedua-dua laluan kenderaan, semalam.

Kejadian berlaku berhampiran Hutan Rekreasi Sungai Udang itu, bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan kepada pengguna kerana laluan tidak sibuk ketika kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ismail Iskandar Shah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.49 pagi daripada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

“Sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan mendapati pokok tumbang menghalang kedua-dua laluan mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira 500 meter.

“Kejadian berlaku selepas hujan tetapi mungkin angin kuat sebelum itu mengakibatkan sebatang pokok di kawasan rekreasi itu tumbang,” katanya, di sini.

Katanya, sepasukan lima anggota yang tiba di tempat kejadian jam 6.54 pagi mengambil masa kira-kira 40 minit untuk memotong dan mengalihkan batang serta dahan pokok sebelum laluan dibuka semula pada jam 7.30 pagi.

“Tiada mangsa terbabit dalam kejadian pokok tumbang ini kerana laluan berkenaan kurang sibuk pada ketika itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 11:55am
d