mutakhir

Dari KL sangkut di Besut

Rantau Panjang: Dua warga asing menyangka mereka terselamat daripada dijejak pihak berkuasa apabila berjaya mengangkut rokok seludup dalam dua kereta dipandu sejauh kira-kira 500 kilometer dari Kuala Lumpur.

Mengikut perancangan, rokok jenama Saat yang keseluruhannya berjumlah 1,150 karton untuk pasaran Kelantan, sekali gus membolehkan mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Malangnya, hajat mereka terbantut selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terlebih dahulu mengesan mereka dan kedua-duanya ditahan di Kampung Pachakan, Besut, Terengganu, Khamis lalu.

Mereka adalah lelaki warga Myanmar berusia 20-an dan warga Thailand berusia 28 tahun, masing-masing memandu kereta Perodua Alza dan Proton Preve.

Pengarahnya, Mohd Nasir Yusoff berkata, kenderaan warga asing itu ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) pada jam 6 pagi dan hasil pemeriksaan menemui 1,150 karton rokok seberat 195.50 kilogram (kg) bernilai RM158,470 termasuk cukai di dalam kedua-dua kereta.

Katanya, kereta dipandu warga Myanmar berada di hadapan dan diekori kenderaan dipandu warga Thailand.

“Hasil siasatan, kami dimaklumkan mereka mengekori sebuah kenderaan lain yang dinaiki pemilik rokok bagi tujuan memasarkan barang tanpa cukai itu di Kelantan,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 12:22pm
d