mutakhir

Kalau ada bukti kukuh, sila buat aduan [METROTV]

Oleh Asmah Rusman

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menolak dakwaan segelintir pihak kononnya wujud penyelewengan berhubung isu pengambilan tanah pusat beli-belah Ampang Park bagi pembinaan stesen MRT.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pelbagai kenyataan dilemparkan sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Pertama sekali, isu pengambilan tanah Ampang Park pada masa ini berada di mahkamah, justeru pihak MRT Corp tidak boleh mengambil apa-apa langkah kecuali menunggu mahkamah membuat keputusan mengenai hal ini.

"Pada 2015, MRT Corp beberapa kali mengadakan perjumpaan bersama pemilik lot strata pusat beli-belah itu untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi isu ini," katanya dalam sidang media di Pejabat MRT Corp, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkenaan atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat dakwaan itu mempunyai bukti kukuh, mereka diminta tampil membuat aduan kepada agensi berkaitan.

"Sebelum ini, Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa proses pengambilan tanah Ampang Park yang dilakukan kerajaan adalah sah.

"Bagaimanapun, pemilik membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan rayuan mereka ditolak," katanya.

Menurutnya, pemilik sekali lagi membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan keputusannya masih belum diketahui.

Najmuddin berkata, melalui perjumpaan dengan pemilik, MRT Corp menawarkan reka bentuk alternatif yang mana lokasi stesen dianjak sedikit dan integrasi antara stesen dicapai melalui pembinaan sebuah laluan pejalan kaki bawah tanah.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 3:46pm
d