mutakhir

Warga emas, isteri didakwa eksploitasi kanak-kanak

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini dengan 12 pertuduhan memperdagangkan kanak-kanak berusia 11 hingga 13 tahun pada 7 dan 8 Oktober tahun lalu.

Tertuduh Muslim Ab Karim, 66, dan isterinya Zaleha Mohamad, 54, dituduh secara bersama mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Muslim yang juga Pengerusi Pusat Latihan Amal Bestari di Yan, Kedah dan Zaleha pula adalah bendahari di pusat sama didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Perajurit 9, Taman Syabas Baru di sini antara jam 11.15 malam 7 Oktober hingga 1.45 pagi 8 Oktober 2016.

Pasangan terbabit yang diwakili peguam Shahril Adli Zain didakwa di hadapan Hakim Murtazadi Amran serta dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Nadia Zulkefli.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 12 pertuduhan.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana pertuduhan yang dihadapi tidak boleh dijamin dan hanya mahkamah yang berhak menentukan sekiranya pasangan terbabit layak diberi jaminan.

Mohamad Abazafree berkata, jika mahkamah memutuskan tertuduh layak dijamin pihaknya meminta wang jaminan ditetapkan sebanyak RM50,000 setiap seorang serta perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di mana-mana balai polis terdekat dalam tempoh yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, selain syarat paling penting iaitu tidak boleh mengganggu semua mangsa dan ibu bapa mangsa.

Tertuduh memohon mahkamah membenarkan dijamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan alasan sudah berusia dan mempunyai penyakit seperti kencing manis serta lelah.

Hakim kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh tidak boleh dijamin dengan mengambil kira kepentingan awam termasuk kemungkinan mangsa diganggu oleh tertuduh susulan sudah tidak lagi berada di rumah perlindungan.

Murtazadi menetapkan 13 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Harian Metro pada 9 Oktober 2016 melaporkan dalam operasi bersepadu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jam 11.15 malam 7 Oktober hingga 1.45 pagi 8 Oktober 2016 seramai 12 kanak-kanak perempuan berusia 11 hingga 13 tahun di Taman Syabas Baru, Ipoh yang dipercayai dieksploitasi sebagai peminta sedekah berjaya diselamatkan.

Kanak-kanak terbabit digunakan untuk menjual pelbagai produk ubat-ubatan serta kalendar Islam.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 4:54pm
d