mutakhir

Ini kejadian lama

Oleh Nurul Huda Kosnon

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menegaskan gambar tular menunjukkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan perkhidmatan Intercity berlanggar, bukan kejadian tahun ini.

Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Siti Badariah Wan Hanafi ketika dihubungi Harian Metro berkata, gambar itu adalah kejadian lama yang berlaku pada Mei 2016.

"Perkara ini sudah pun selesai. Perkhidmatan tren KTMB pada masa ini juga beroperasi seperti biasa serta tidak mengalami sebarang gangguan mahupun kelewatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam kejadian 8 Mei 2016 itu, tiga penumpang cedera apabila kereta api KTMB bergesel dengan ETS di Stesen Komuter Batang Kali, Hulu Selangor.

"Tren KTMB itu dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur, manakala ETS dari Kuala Lumpur menghala Ipoh," katanya.

Katanya, pihaknya memohon kerjasama semua pihak supaya menghentikan penyebaran foto berkenaan bagi mengelak sebarang kesulitan dan salah faham.

"Perkara ini boleh menimbulkan salah faham dan kesulitan terutama kepada pelanggan KTMB. Mohon hentikan dan kerjasama daripada semua pihak amat kami hargai," katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 4:58pm
d