mutakhir

Suspek tikam abang direman

Oleh Rosliza Mohamed

SUSPEK lelaki yang menikam abang kandungnya hingga maut dalam kejadian di Kampung Kulim, Wakaf Bharu, Tumpat tengah malam tadi direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, lelaki berusia 50 tahun itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, kejadian jam 12.30 tengah malam tadi dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa, Tan Seng Chong, 52, dengan adiknya sejak 2003.

"Suspek dikatakan menikam abangnya di bahagian dada, perut dan mengakibatkan kecederaan lain di badan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.15 pagi dan suspek ditahan jam 2 pagidi hadapan rumah mereka," katanya di Kota Bharu.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang lelaki meninggal dunia dipercayai ditikam adiknya di dada dalam kejadian di Kampung Kulim, Tumpat, jam 12.30 tengah malam tadi.

Mangsa berusia 52 tahun mengalami cedera parah mendapatkan rawatan di klinik berdekatan dan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 6:06pm
d