mutakhir

Tiga sahabat raih Anugerah Naib Canselor

Oleh Azma Razana Johari

SENTIASA tolong-menolong dan saling mengingatkan antara satu sama lain menjadi kunci kejayaan tiga sahabat baik.

Lebih manis apabila ketiga-tiganya iaitu Siti Zulaikha Sapihi, Nur Sofia Farhana Muhammad Kammal dan Rabiatul Adawiyah Ariffin, masing-masing berusia 22 tahun menerima Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang kali ke-86 di Permatang Pauh, semalam.

Mereka antara 1,323 graduan menerima diploma dan ijazah disampaikan Pro Canselor UiTM Tan Sri Arsyad Ayub.

Siti Zulaikha berkata, mereka bertiga berada dalam kelas sama dan mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Hotel.

Katanya, selain sentiasa memberi fokus di dalam kelas, mereka sentiasa belajar bersama di dalam kumpulan.

“Kalau tidak faham subjek diajar, kami akan saling membantu serta mengingatkan antara satu sama lain dan saya memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.71, manakala Sofia, 3.80 dan Rabiatul 3.69.

“Bagaimanapun selepas ini, kami akan memilih haluan berbeza kerana saya mahu mencari pengalaman bekerja dahulu, manakala dua lagi rakan akan menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang sama di UiTM Puncak Alam,” katanya.

Sementara itu, Rabiatul berkata, pada setiap semester mereka bersaing dalam pelajaran dan menerima Anugerah Dekan.

“Kami sering berlumba dan selalu impikan sama-sama memakai selempang untuk menerima anugerah pelajar cemerlang ketika konvokesyen.

“Tidak sangka impian kami tercapai sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus maju dan berjaya di peringkat lebih tinggi,” katanya yang berasal dari Bangi, Selangor.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 5:23am
d