mutakhir

Pantau enam trek basikal 'budak lajak'

Oleh Ahmad Ismail

POLIS mengenal pasti enam lokasi dijadikan litar lajak di daerah ini yang digunakan lebih 20 penunggang basikal pada waktu petang untuk berlumba sesama mereka.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, enam lokasi itu Jalan Kampung Abdullah - Medoi, Jalan Segamat - Jementah, kawasan sekitar Labis, Buloh Kasap, Batu Anam dan sekitar bandar Segamat digunakan pelumba basikal lajak, walaupun dilalui banyak kenderaan.

Berikutan itu, katanya, pihaknya akan menggandakan rondaan dan membuat tangkapan sekiranya menemui penunggang basikal lajak tanpa mengira tempat kerana ia tidak mengikut spesifikasi untuk berada di atas jalan raya.

Katanya, selain memantau enam lokasi berkenaan, pihaknya sedar masa penunggang berkenaan berlumba kini diubah daripada malam ke petang dan ia sebenarnya lebih berbahaya berikutan banyak kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

“Kami dapati, mereka menjadikan kawasan berbukit sejauh lebih 300 meter di Jalan Kampung Abdullah - Medoi, Jalan Segamat - Jementah, kawasan sekitar Labis,Buloh Kasap, Batu Anam dan sekitar bandar Segamat untuk bermain basikal lajak.

“Selain menggandakan rondaan, kami mengharapkan bantuan orang ramai terutama ibu bapa menjaga aktiviti anak masing-masing, selain ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan ketua kampung untuk menyalurkan maklumat kepada kami.

“Kerjasama semua pihak diperlukan bagi membolehkan kami memantau dan mengelak kejadian tidak diingini berlaku, seperti kemalangan maut yang meragut lapan nyawa di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda, polis Trafik serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan melakukan rondan berkala dan mengejut bagi memastikan lokasi yang dikenal pasti itu tidak digunakan lagi.

Katanya, sudah tiba masanya ibu bapa memainkan peranan lebih besar dengan memusnahkan basikal lajak yang berada di rumah masing-masing bagi mengelak anak mereka terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah itu.

“Basikal lajak tidak selamat digunakan di atas jalan raya, ia tidak dilengkapi brek dan tiada ciri-ciri keselamatan lain,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 5:43am
d