mutakhir

Pecah lagi...

Oleh Muhammad Apendy Issahak

POLIS menerima satu lagi laporan mengenai perbuatan khianat memecahkan pintu kaca premis perniagaan di bandaraya Ipoh menjadikan keseluruhan lima kes sejak Sabtu lalu.

Kes terbaru membabitkan pusat jualan kenderaan di Pekan Baru dilaporkan pada Ahad lalu sehari selepas pintu kaca empat bank dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, kesemua lima premis berkenaan bagaimanapun hanya mengalami kerosakan pecah pintu kaca dan tidak membabitkan kehilangan barang atau wang ringgit.

"Keseluruhan empat bank dan sebuah pusat jualan dipecahkan pintu kaca dipercayai menggunakan modus operandi yang sama.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di semua premis yang terjejas bagaimanapun gagal mengesan pihak yang melakukan perbuatan khianat itu kerana tiada pergerakan individu atau kumpulan yang dirakam," katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Pentadbiran) yang baru antara Superintendan Mohd Nor Rasid yang bersara wajib mulai esok dengan Superintendan Mohamad Nordin Abdullah, di Ipoh hari ini.

Menurutnya, polis masih menunggu laporan forensik bagi mengenal pasti punca pintu kaca berkenaan pecah dan akan menyiasat dari semua aspek termasuk kemungkinan pelaku melakukan perbuatan khianat itu dengan menggunakan senjata seperti senapang angin serta melepaskan tembakan dari dalam kereta dan sebagainya.

Pada Sabtu lalu, empat bank masing-masing di Pusat Perniagaan Greentown dan Jalan Yang Kalsom, manakala dua lagi di Medan Gopeng, di sini pecah pintu kaca di bahagian mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai menggunakan senapang angin berikutan terdapat kesan peluru pada pintu yang pecah dan kejadian disyaki bermotifkan khianat kerana semua mesin ATM yang terbabit tidak mengalami kerosakan atau kesan pecah.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 12:26pm
d