mutakhir

Suspek penipuan forex ditahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI ditahan polis di Kota Sarang Semut, Alor Setar semalam kerana dipercayai terbabit dengan penipuan pelaburan mata wang asing (forex) membabitkan jumlah keseluruhan RM3.5 juta.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Polis Sahabudin Abdul Manan berkata, jumlah kerugian itu membabitkan lebih 10 mangsa di sekitar negeri ini yang dijanjikan pulangan setiap dua minggu.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada wanita dipercayai seorang daripada mangsa pelaburan yang kerugian RM50,000.

"Suspek berusia 43 tahun ditahan pada 4.30 petang di hadapan bank berdasarkan maklumat yang diterima. Kami turut merampas dua kad juruwang automatik (ATM) dan telefon bimbit daripada mangsa untuk membantu siasatan.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam penipuan.

"Sehubungan itu kita berharap supaya lebih ramai mangsa tampil untuk membuat laporan berhubung kes itu bagi memudahkan pihak kami menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, hari ini.

Dalam majlis itu, Superitendan Mohd Ismail Ibrahim yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sik menerima tugas itu daripada Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chan Keat Seang.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 1:08pm
d