mutakhir

Padah larikan lori MBPP

Oleh Hadzlihady Hassan

DUA penjaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini terhadap pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dengan melarikan lori milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Khamis lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohammad Haziq Ammar Mohd Hussain, 28, dan Abdul Muhaimin Mohd Hassan, 34, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di gerai di hadapan Balai Bomba Bagan Jermal, Jalan Tanjung Tokong di Georgetown, 8.30 malam Khamis lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10, 000 atau kedua-duanya.

Mohamad Amin kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai sebagai tarikh sebutan semula.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M Puveneswaran.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 2:09pm
d