mutakhir

Kontraktor, pegawai Imigresen direman

Oleh Aizat Sharif

KONTRAKTOR binaan dan dua pegawai Imigresen direman selama tujuh hari di Mahkamah Alor Setar bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan permohonan kemasukan tenaga kerja warga asing di negara ini.

Reman bermula hari ini sehingga 15 Mei dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim selepas ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 48 tiba di mahkamah pada 10.15 pagi.

Sumber berkata, kesemua suspek ditahan semalam antara 10 hingga 11 pagi oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah di beberapa lokasi di Perlis dan Kedah.

“Suspek ditahan di beberapa lokasi seperti di Kompleks KIK Padang Besar, Pejabat Pendidikan Negeri Kedah, dan Jalan Langgar, Alor Setar.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan permohonan kemasukan tenaga kerja warga asing di negara inisejak 2015,” katanya.

Difahamkan, ia membabitkan 18,000 permohonan kemasukan tenaga kerja warga asing yang setiap satunya bernilai RM1,500.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad akan membuat satu sidang media berkenaan tangkapan berkenaan, hari ini.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 2:29pm
d