mutakhir

Terpaksa pindah sementara waktu

Oleh Safuri Kamarudin

EMPAT keluarga yang terjejas teruk akibat tanah runtuh di belakang kediaman mereka di Taman Harmoni, Baling, bersetuju berpindah buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian bertambah buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, persetujuan dicapai selepas mereka mengadakan mesyuarat bersama wakil penduduk dan ketua jabatan di Pejabat Majlis Daerah Baling bagi memastikan kerja analisa struktur tanah dapat dijalankan dengan sempurna oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

Katanya, IKRAM dilantik sebagai juru perunding untuk membuat keputusan struktur tanah di kawasan itu selamat atau tidak untuk didiami.

"Keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh sebulan," katanya pada sidang media selepas melawat rumah penduduk di Taman Harmoni, hari ini.

Badrol Hisham berkata, selepas IKRAM membuat keputusan, pemaju akan mengambil tindakan memperbaiki kerosakan dan sedia berunding dengan pemilik tanah untuk langkah seterusnya.

Semalam, Harian Metro melaporkan lapan sekeluarga yang tinggal di Taman Harmoni bimbang apabila kediaman mereka terjejas akibat tanah runtuh sejak tiga bulan lalu.

Penduduk mendakwa tebing setinggi 10 meter di belakang kediaman mereka mula runtuh dan menghempap dinding rumah.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 6:57pm
d