mutakhir

Eloklah tu, senang nak tangkap

Oleh Nabihah Kamal

PECAHKAN cermin kereta untuk curi barangan berharga dan apabila anggota polis tiba, dia bersembunyi di dalam kereta itu.

Kesudahannya, dengan mudahnya lelaki berusia 35 tahun itu ditahan dalam kejadian 1.25 pagi hari ini, di Jalan Bandar 11, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek yang mempunyai lapan rekod jenayah menggunakan pemutar skru untuk memecahkan cermin kereta itu.

"Dua anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) membuat rondaan dan terserempak dengan suspek yang sedang memecahkan tingkap kereta. Dia (suspek) kemudian bersembunyi di kerusi penumpang belakang kereta.

"Susulan itu, pemeriksaan dibuat dan menjumpai dua pemutar skru, beg kecil berisi duit syilling dan wang kertas bernilai RM4," katanya.

Menurutnya, suspek dibawa ke Balai Polis Taman Melawati untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 7:38pm
d