mutakhir

Bot nelayan dilanggar kapal dagang

Oleh Aizat Sharif

Kuala Kedah: Dua nelayan warga Thailand terselamat manakala dua lagi rakan senegara mereka lemas dan hilang selepas bot nelayan pukat tunda yang dinaiki mereka dilanggar oleh kapal dagang di kawasan 37 batu nautika perairan barat Kuala Muda, Sungai Petani hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Utara, Kepten Maritim Zulinda Ramli berkata, kejadian berlaku pada 3 pagi ketika cuaca hujan dan laut bergelora.

"Ketika kejadian, nelayan warga Thailand yang berada dalam bot pukat tunda tempatan Kelas C sedang menarik pukat mereka setelah keluar memancing ikan di kawasan itu pada awal malam kelmarin.

"Ketika mereka sedang menarik pukat pada bot pukat tunda mereka itu, tiba-tiba datang sebuah kapal dagang melanggar bahagian belakang bot berkenaan menyebabkan nelayan yang berada di bot berkenaan tercampak ke laut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Tambahnya, rempuhan kapal dagang berkenaan juga menyebabkan bot pukat tunda itu tenggelam.

"Dua daripada nelayan yang tercampak ke laut itu didapati hilang manakala dua lagi terselamat.

"Mangsa yang terselamat terpaksa berpaut pada serpihan bot yang pecah dilanggar kapal dagang itu selama empat sehinggalah mereka diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan," katanya.

Zulinda berkata, satu mayat dipercayai salah seorang daripada kumpulan nelayan itu kemudian ditemui oleh nelayan tempatan di sekitar kawasan perairan itu pada jam 8 pagi tadi.

"Mayat lelaki itu ditemui oleh nelayan tempatan yang berada di kawasan itu dan kemudian dibawa naik ke bot nelayan berkenaan bersama dengan mangsa yang terselamatsebelum diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Mangsa terselamat dikenali sebagai Anukun Matuwet, 58 dan Phaisen Dalem, 48 dan mangsa yang meninggal dunia pula dikenali Ekkachai Sutprasoet yang berusia 33 tahun manakala seorang yang masih hilang dikenali sebagai Somchok Sutprasert, 30.

"Pihak APMM kemudian dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 11 pagi," katanya.

Operasi mencari seorang lagi mangsa pelanggaran bot berkenaan kemudian dimulakan pada jam 3 petang merangkumi jarak sehingga lima batu nautika di kawasan kemalangan.

"Namun sehingga 7 malam tadi, pencarian kami tidak menemukan sebarang apa-apa di kawasan berkenaan.

"Kita terpaksa menangguhkan pencarian kerana hari sudah semakin gelap dan akan menyambung pencarian pada jam 7 pagi esok," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2017 @ 9:02pm
d