mutakhir

Manfaat bakat dalam Permata

Oleh BERNAMA

“RAMAI pelajar Permata berbakat menghasilkan kajian dan diterbitkan dalam journal,” kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Permata.

Beliau berkata, kebanyakan mereka dibimbing anggota Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Oleh itu dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara fakulti berkenaan dan Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, ia memanfaat pelajar berbakat Permata,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu, di London, kelmarin.

Ia ditandatangani antara Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, Prof John Dennis dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Sahrim Ahmad.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi, Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat, Pegawai Antarabangsa Univeristi Cambridge, Allen Swales dan Timbalan Ketua Jabatan Kajian Universiti Cambridge, Prof Elizabeth Hall.

Rosmah berkata, pelajar berbakat mempunyai pemikiran abstrak tahap tinggi dan kebolehan memiliki dan mengguna pakai pengetahuan dan strategi maju bagi menyelesai masalah selain menerimanya bagi tujuan mulia.

“Apabila dipupuk sejak muda, bakat mereka dapat dioptimum melepasi prestasi tahap tinggi dalam sebarang bidang,” katanya.

Beliau juga berkata, Hall yang juga profesor pelawat di Bengkel Minda Nobel Permata Pintar di UKM pada September lalu membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari lebih banyak mengenai STEM (bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 4:08am
d