mutakhir

Lagu iringi ketibaan larian bendera

KETIBAAN peserta larian bendera UMNO yang diketuai Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib disambut meriah oleh ahli UMNO Bahagian Hulu Selangor sambil diiringi lagu UMNO, dekat sini, semalam.

Majlis penyerahan bendera berkenaan dilakukan Mohd Khusairi kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor Datuk Ahmad Nadzeri Ahmad Dahalan.

Larian itu bermula dari Pekan Bidor selepas menerima bendera berkenaan daripada UMNO Bahagian Teluk Intan dan seterusnya melalui Pekan Sungkai, Trolak, Slim River dan Behrang serta ke pekan ini sejauh kira-kira 55 kilometer.

Mohd Khusairi berkata, semua peserta begitu bersemangat menjayakan larian bendera UMNO yang dianggap lambang keramat kepada parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara sejak zaman sebelum merdeka.

Katanya, kesungguhan ahli UMNO terutama golongan muda memang tidak dapat disangkal kerana memberi semangat luar biasa sebagai pewaris kesinambungan kepemimpinan parti.

“Kita mahu ahli UMNO terutama golongan muda sedar hanya UMNO yang mampu memacu negara dan terbukti sehingga hari ini di mana kemakmuran negara dikecapi oleh semua bangsa,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nadzeri yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Selangor berkata, pihaknya amat komited dalam perjuangan demi mendaulatkan maruah bangsa, agama dan negara.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 4:30am
d