mutakhir

Tauke kebun sayur ceroboh hutan simpan kena tindakan

Oleh Mohd Rafi Mamat

TINDAKAN undang-undang menanti pengusaha kebun sayur dan bunga yang melanggar peraturan dengan menceroboh kawasan hutan simpan di daerah ini.

Pada masa sama, operasi memusnahkan tanaman terbabit yang berada dalam kawasan hutan simpan akan dibuat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands Nurul Hidayah Hazudha berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan pencerobohan hutan simpan di daerah ini seperti yang berlaku sebelum ini.

Katanya, pemeriksaan sempadan kawasan hutan simpan dilakukan secara berterusan dan berjadual selain lebih banyak papan tanda sempadan berwarna kuning diletakkan sebagai peringatan.

Katanya, kebanyakan kes pencerobohan hutan simpan dilakukan pekebun sayur serta bunga yang kebun mereka berada bersebelahan kawasan hutan simpan dan mereka sengaja menceroboh untuk membesarkan kawasan tanaman.

“Di Cameron Highlands, ada 18 kawasan hutan simpan diwartakan dengan keluasan kira-kira 38,782 hektar, pengawalan aktiviti pencerobohan menjadi antara tugas utama PHD Cameron Highlands yang mempunyai 16 kakitangan.

“Kami memandang serius kegiatan pencerobohan hutan simpan kerana aktiviti ini jika tidak dibendung boleh mengundang hakisan dan banjir lumpur,” katanya, semalam.

Nurul Hidayah berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan Operasi Musnah disertai 75 anggota Bahagian Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di daerah berkenaan minggu lalu.

Pada operasi itu, kebun milik seorang petani yang mengusahakan tanaman jagung, kacang buncis dan pokok ketumbar seluas 1.6 hektar di kawasan Hutan Simpan Batu Gangan dimusnahkan.

Keterangan gambar:

1- Nurul Hidayah menyertai Operasi Musnah di Hutan Simpan Batu Gangan, Cameron Highlands, minggu lalu.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 5:05am
d