mutakhir

'Pak andam' tak muncul hari persandingan

Oleh myMetro

IMPIAN seorang wanita melihat anak bongsunya bersanding di atas pelamin musnah apabila ditipu seorang ‘pak andam’ yang dikatakan menghilangkan diri pada hari perkahwinan itu, Sabtu lalu.

Wanita terbabit menanggung kerugian apabila terpaksa mendapatkan perunding perkahwinan lain pada saat akhir.

Menurut mangsa, Sarifah Malek, 53, dia mengenali lelaki bernama Am berusia 30-an selepas diperkenalkan anak sulungnya yang pernah bekerja bersama lelaki itu, 10 tahun lalu.

“Dia menawarkan saya pakej berharga RM5,000 untuk menyediakan tiga pakaian pengantin dan pelamin. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding pakej ditawarkan butik lain, saya bersetuju kerana mahu membantunya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ampangan, Seremban, semalam.

Berikutan itu, katanya, dia menyerahkan wang RM3,600 kepada lelaki terbabit sebagai deposit.

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba hari dijanjikan untuk pemasangan pelamin Jumaat lalu, Am tidak datang menyebabkan dia menghubungi lelaki itu berulang kali.

“Dia hanya datang ke rumah saya pada jam 2 pagi hari Sabtu. Saya terkejut apabila melihat pelamin dipasang tidak seperti dijanjikan dan dia hanya membawa sepasang baju nikah manakala dua pasang baju untuk majlis berinai serta sanding tidak dibawa.

“Saya tidak puas hati meminta penjelasannya, tetapi dia meninggalkan rumah saya. Ketika itu saya panik kerana majlis pernikahan akan berlangsung jam 4 petang.

“Mujur ahli keluarga saya membantu mencarikan mak andam lain dan mereka datang memasang pelamin serta menyewakan dua pasang baju pengantin, pada pagi itu. Saya terpaksa mengeluarkan RM2,500 untuk membayar mak andam terbabit,” katanya.

Sarifah yang juga peniaga kedai makan berkata, dia cuba menghubungi Am beberapa kali, tetapi gagal menyebabkan dia berasa ditipu lalu membuat laporan di Balai Polis Paroi, di sini, untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 5:32am
d