mutakhir

Kamera dalam pasu bunga

Oleh Siraj Mohd Zaini

KAMERA mini diletakkan di tempat strategik seperti pasu bunga rumah sasaran. Itu antara taktik penjenayah digelar Geng Itik yang aktif menyamun di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan anggota kumpulan berkenaan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Setia Alam, di Shah Alam , 5 Mei lalu.

Dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, tiga lelaki dan seorang wanita Vietnam ditahan manakala seorang lagi lelaki dipercayai ketua kumpulan berkenaan maut apabila terjatuh dari bangunan ketika cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pemeriksaan di rumah sewa geng itu menemui enam kamera mini dipercayai digunakan untuk menjadi ‘mata’ kepada mereka sebelum menyamun.

“Kamera menggunakan bateri itu disambung ke telefon bimbit suspek bagi memantau pergerakan keluar masuk di rumah mangsa yang menjadi sasaran.

“Ia boleh diletakkan di lokasi tertentu seperti pasu bunga di sekeliling rumah kerana berbentuk kecil dan sukar dilihat mangsa,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, alat yang turut dipasang di luar kediaman penjenayah itu berfungsi sebagai kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengetahui sekiranya ada serbuan pihak berkuasa.

Kata Shafien, dengan tertangkapnya semua supek, pihaknya menyelesaikan beberapa kes samun di Cheras, Kuala Langat, Klang dan sekitar daerah ini membabitkan kerugian RM100,000.

“Kami turut menemui beberapa telefon pintar, jam tangan, beg tangan, komputer riba dan rantai emas yang dipercayai hasil samun.

“Selain itu, sepucuk pistol, bom buatan sendiri, nombor plat palsu dan alat pecah rumah dirampas,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 5:35am
d