mutakhir

210 PATI ditahan [METROTV]

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

SERAMAI 210 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Ikrar dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur bermula 11 malam semalam hingga 3 pagi, hari ini.

Operasi berkenaan diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan merangkap Ketua Unit Risikan, Operasi dan Tahanan JIM KL, Mohd Shahrulnizam Ismail bersama 82 pegawai dan anggota dijalankan di dua lokasi sekitar Cheras termasuk sebuah flat kos rendah di Bandar Tasek Selatan.

Hasil pemeriksaan ke atas 330 individu, seramai 210 PATI pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Filipina, Pakistan dan India ditahan.

Semua yang ditahan berusia antara tiga bulan hingga 60 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Mereka dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Jalan Duta untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Disiarkan pada: May 10, 2017 @ 3:44pm
d