mutakhir

Lima nelayan Indonesia ditahan masuk perairan Malaysia

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: “Kenapa ni pak, inikan masih di kawasan perairan Indonesia?” itu alasan diberi seorang tekong bot warga Indonesia sebaik ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pengkalan Kuala Kurau, malam kelmarin.

Tekong bot berkenaan bersama empat awak-awak warga Indonesia ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini iaitu pada kedudukan 33 Batu Nautika dari pantai Kuala Kurau.

Ketua APMM Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Mohamad Zainal berkata, tekong bot berusia 30 tahun bersama empat rakannya berusia 20 hingga 30 tahun ditahan kira-kira 8.40 malam.

Katanya, alasan tidak menyedari memasuki perairan negara ini itu tidak diterima APMM dan kesemua ditahan dibawa ke pengkalan bersama bot digunakan untuk siasatan lanjut.

Kesemua mereka ditahan kerana menceroboh perairan negara ini dan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa sebarang kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kesemua hasil tangkapan ikan berjumlah 100 kilogram (kg) diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengkalan Kuala Kurau untuk tindakan lanjut dan beberapa alat menangkap ikan yang digunakan turut dirampas.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 3:46am
d