mutakhir

Lelaki kantoi curi getah sekerap

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Misteri kehilangan getah sekerap di Kampung Gentam, di sini, berakhir apabila penduduk menahan seorang lelaki dipercayai dalang kecurian itu, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 46 tahun terbabit ditahan jam 8 pagi selepas seorang penduduk membuat intipan berikutan kerap berlaku kecurian getah sekerap milik mereka.

Penoreh, Mahat Kamijan, 53, berkata, getah sekerap miliknya kerap hilang sejak harga komiditi itu naik beberapa bulan lalu.

“Kehilangan getah sekerap bukan hanya berlaku di kebun saya, malah beberapa penoreh lain turut menerima nasib sama.

“Saya mengambil keputusan mengintip siapa pencuri getah sekerap dan membiarkan getah ditoreh dan bersaiz besar di ladang untuk dijadikan umpan.

“Sangkaan saya tepat apabila terlihat kelibat seorang lelaki leka memungut getah sekerap lalu terus menangkapnya dan meminta bantuan penduduk,” katanya.

Katanya, dia mengenali pencuri berkenaan yang tinggal di Bahau, Jempol dan baru enam bulan mengambil upah menoreh getah kepunyaan penduduk di kampung ini.

“Sebelum ini, tidak pernah berlaku kes seumpama itu sehingga dia datang mengambil upah menoreh getah di kampung ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 3:57am
d