mutakhir

Suspek jadikan wanita tebusan direman [METROTV]

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

SUSPEK lelaki warga asing yang menjadikan wanita sebagai tebusan di Jalan Damai, Kota Kinabalu malam tadi, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rakman berkata, suspek berusia 27 tahun itu direman sehingga 17 Mei untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh berhubung kes itu masih giat dijalankan.

"Hasil pemeriksaan awal turut mendapati suspek juga positif dadah jenis syabu," katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 7.35 malam itu, suspek pada mulanya gagal merompak kediaman di Taman Istimewa, Luyang, sebelum mengalih tumpuannya dengan menarik wanita di rumah bersebelahan dan menjadikannnya tebusan.

Suspek mengheret mangsa ke jalan raya sejauh 1.5 kilometer dari Taman Istimewa ke Jalan Damai-Luyang berhampiran Plaza Damai sambil tangannya mengacukan pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter ke leher wanita berkenaan.

Bagaimanapun, situasi cemas itu berakhir selepas suspek ditahan dan tebusan diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) II , 9.35 malam tadi.

Sementara itu, mangsa wanita yang terbabit dalam kejadian berkenaan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital, malam tadi namun usaha menemubual mangsa pada pagi hari ini tidak berjaya memandangkan dia dalam keadaan trauma dan memerlukan rehat.

Bagaimanapun sumber rapat ahli keluarga mangsa ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menyelesaikan kes itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Berita berkaitan:

Tak mahu wang

Penyamaran selamatkan nyawa tebusan

Tebusan diselamatkan, penjenayah ditahan

Pisau masih di leher [METROTV]

Diacu senjata tajam

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 12:16pm
d