mutakhir

Padah cuba rempuh MPV polis

Oleh Fardy Bungga

POLIS melepaskan satu das tembakan terhadap Perodua Axia apabila pemandunya cuba merempuh kenderaan polis selepas berlaku pergaduhan membabitkan 30 lelaki di Jalan Telawi, Bangsar, 3.10 pagi, hari ini.

Dalam kejadian itu, polis turut menahan 17 lelaki dan empat wanita termasuk dua warga Thailand selepas dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di restoran di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata kereta peronda (MPV) yang dikerah ke lokasi hampir dilanggar Perodua Axia yang dipandu lelaki dalam keadaan cermin pecah dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

Katanya, akibat tindakan pemandu itu, anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan dan mengena bahagian sisi kiri hadapan kereta berkenaan.

"Selepas ditembak, pemandu Axia terus memecut kenderaannya ke arah bank di Jalan Telawi, sebelum meninggalkan kenderaan berkenaan dan menghilangkan diri.

"Selain kereta Perodua Axia, polis turut merampas PERODUA Myvi dan Toyota Vellfire dipercayai milik suspek yang terbabit dalam insiden pergaduhan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sharul berkata, polis turut merampas tiga topi keledar, besi, pisau pemotong kertas, T batton, botol minuman keras dan jaket mempunyai kesan darah yang ditemui di dalam Perodua Axia berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 147 kanun yang sama.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 1:55pm
d