mutakhir

Bongkar makmal proses dadah

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

DUA lelaki dan seorang wanita ditahan polis selepas disyaki terbabit memproses dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM2.2 juta di Jelutong dan Butterworth, Isnin lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, ketiga-tiga mereka berusia 38, 46 dan 52 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hasil maklumat diterima.

Beliau berkata, suspek pertama lelaki berusia 52 tahun ditahan 9.15 malam di kawasan tempat letak kenderaan kondominium di Solok Tanjung Bungah sebelum dibawa ke rumah di Lebuh Sungai Pinang.

Katanya, hasil pemeriksaan polis membongkar makmal memproses dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM1.9 juta.

"Polis turut merampas wang tunai RM255,000, beg tangan, rantai perak, jam tangan dan tiga kereta BMW, Honda Civic dan Chevrolet.

"Polis kemudian menyerbu rumah di Taman Bagan, Butterworth pada 1.15 tengah hari Selasa lalu dan menahan lelaki dan wanita berusia 46 tahun dan 38 tahun.

"Dalam pemeriksaan itu, polis menjumpai dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM294,500 dan menyita wang tunai RM73,050 dan tiga kereta Mercedes Benz dan Perodua Alza," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 2:51pm
d