mutakhir

3 askar cedera trak terbalik

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

TIGA anggota tentera dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke Kem Kechau, Lipis, cedera apabila trak dinaiki terbabas dan terbalik selepas mengelak kerbau di Kilometer 35 Jalan Lipis-Jerantut, Kampung Mela, semalam.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, mangsa Sarjan Mohd NorArifen Mohd Taib, 35, cedera di kaki kanan manakala Koperal Mohd Nailili Nasarudin, 30, cedera di pinggang dan Koperal Mohd Fadli Che Hashim, 30, cedera di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, tiga lagi anggota dan seorang pegawai tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, pemandu trak itu, Johari Musa, 25, tidak menyedari kehadiran seekor kerbau melintas dari kiri jalan sebelum trak itu terbabas dan terbalik di kiri jalan dalam usaha mengelak haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi di Lipis.

Beliau berkata, trak dari kem di Bentong itu kemudian terjunam ke dalam gaung sedalam lima meter.

"Anggota terbabit kemudian saling membantu menyelamatkan diri keluar dari trak berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 3:13pm
d