mutakhir

250 diselamatkan

Oleh Junaidi Ladjana dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 250 mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negeri ini sepanjang tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, jumlah berkenaan membabitkan 60 mangsa pemerdagangan orang serta 190 mangsa penyeludupan migran yang dibawa masuk untuk bekerja sektor seperti perkhidmatan, perladangan selain eksploitasi seks.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menahan 42 tekong bot dan 19 individu yang menjadi dalang membawa masuk migran.

"Kebanyakan kes dikesan di pantai timur negeri ini memandangkan kita berdepan cabaran pesisiran pantai yang luas dan panjang.

"Antara mangsa diselamatkan termasuk kanak-kanak berusia 11 hingga 13 tahun yang bekerja di kedai makan dan premis cuci kenderaan,"katanya selepas penutupan Bengkel Pemberitaan Pemerdagangan Manusia di Tawau, hari ini.

Bengkel berkenaan dianjurkan Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO).

Bengkel kali ketujuh yang berlangsung selama tiga hari sejak Selalu lalu disertai 45 wartawan media cetak dan elektronik dari Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

Terdahulu dalam ucapannya, Ramli berkata, walaupun Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat berhubung Pemerdagangan Orang (TIP) menunjukkan Malaysia kini berada pada Tier 2, kerjasama pelbagai pihak masih perlu dipertingkatkan.

"PDRM serius memerangi penyeludupan manusia, namun kita memerlukan bantuan pelbagai pihak,"katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 3:18pm
d