mutakhir

Padah jual MC palsu

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

JURUTEKNIK syarikat percetakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan memiliki tujuh cop palsu hospital dan 70 sijil cuti sakit (MC), minggu lalu.

Tertuduh, Shahrizal Sukor, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan utama dan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan utama, lelaki itu didakwa memiliki tujuh cop doktor yang kononnya daripada hospital serta salinan asal 70 sijil cuti sakit yang tidak sepatutnya berada dalam milikannya dengan niat digunakan bagi tujuan pemalsuan.

Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah rumah di Blok 18, Jalan Desa Kempas 1, Taman Desa di sini, jam 2.30 pagi, 5 Mei lalu itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan terhadapnya pula dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazali mewakili tertuduh.

Ahad lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah dalam satu sidang media memaklumkan bahawa Polis Johor berjaya melumpuhkan sindiket mencetak dan menjual MC palsu yang tertera nama dan cop Hospital Sultanah Aminah (HSA) hasil penahanan empat lelaki antara 3 hingga 5 Mei lalu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengurusan HSA yang menerima 40 MC palsu sejak tahun lalu.

Difahamkan, tertuduh adalah seorang daripada suspek yang ditahan.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 7:22pm
d