mutakhir

Diragut ketika swafoto [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PELANCONG wanita warga China, 40, diragut seorang lelaki menunggang motosikal ketika swafoto di hadapan Dataran Merdeka, Kuala lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan sedang mengambil gambar swafoto sebelum dihampiri sebuah motosikal dari arah belakang.

"Lelaki itu kemudian menarik beg tangan mangsa hingga menyebabkan wanita itu terjatuh.

"Bagaimanapun, mangsa tidak cedera," katanya yang memaklumkan wanita itu membuat laporan di Balai Polis Genting Highland.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Rakaman video wanita berkenaan mengambil gambar swafoto ketika kejadian tular di laman sosial hari ini.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 9:03pm
d