mutakhir

Bayi rentung, ibu bapa melecur

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

BAYI rentung, ibu bapanya melecur selepas rumah pekerja yang mereka diami di ladang di Kampung Tangkarason, Beluran, terbakar, 8.10 malam, semalam.

Mangsa rentung, Ainur berusia 11 bulan, manakala yang melecur, Jiman Alimuddin, 25 dan Adittri Rahman, 24, yang dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Pitas .

Menurut sumber, sebelum kejadian kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik sejak tiga hari lalu dan pekerja ladang terpaksa menggunakan lilin dan pelita.

"Ketika kejadian, mangsa lelaki berada di rumah rakannya manakala isteri dan bayi mereka berada di rumah.

"Ketika kebakaran berlaku, mangsa sempat pulang ke rumah untuk menyelamatkan isterinya namun dipercayai tertinggal bayi mereka di buaian berikutan keadaan api sudah terlalu marak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi hari ini berhubung kejadian itu.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dihantar ke lokasi kejadian.

"Jarak ke lokasi kejadian sejauh 215 kilometer dan sebaik tiba, sebuah rumah pekerja 10 pintu musnah dalam kejadian kebakaran semalam," katanya.

Mohd Affendy berkata, kerja pemantauan dilakukan di kawasan berkenaan berikutan api kebakaran sudah dipadam.

"Seorang bayi dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan rentung dan mayatnya dikeluarkan pihak polis pada 2 petang hari ini.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2017 @ 9:13pm
d