mutakhir

Mudah, tak ambil masa

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Mudah dan tidak mengambil masa yang panjang menyebabkan ramai ahli UMNO mendapatkan kad keahlian mereka pada program Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Ketua Kaunter Pendaftaran Keahlian UMNO dan Kad Keahlian UMNO, Noor Hashim Roslan berkata, pihaknya berpuas hati kerana sambutan diterima pihaknya amat menggalakkan malah masing-masing memberi kerjasama yang baik.

Menurutnya, kad keahlian itu adalah identiti ahli UMNO yang memudahkan pengenalan dalam pelbagai program dianjurkan parti berkenaan.

“Kami buka kaunter dari jam 10 pagi. Proses pembuatan berjalan lancar. Setiap satu kad keahlian hanya mengambil masa yang singkat untuk disiapkan.

“Mereka yang datang tidak ada yang mengadu masalah. Mereka memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Kad keahlian UMNO yang bersaiz seperti kad pengenalan mengandungi logo dan nama parti selain nama bahagian, nama ahli, nombor keahlian dan nombor kad pengenalan.

Noor Hashim berkata, proses pembuatan bagi setiap kad keahlian membabitkan bayaran RM5 saja.

“Kad keahlian ini hanya diproses oleh kami di peringkat ibu pejabat UMNO. Selepas ini sesiapa yang mahu mendapatkannya perlu ke ibu pejabat.

“Kami hanya turun ke program lain atas jemputan,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 4:37am
d