mutakhir

Muktamad putus hubungan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan hubungan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata keputusan itu dibuat merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara PAS dan PKR yang terjalin sejak pilihan raya umum ke-11.

Keputusan Majlis Syura PAS itu sememangnya dijangkakan selepas Muktamar PAS yang berlangsung baru-baru ini di Alor Setar, Kedah meluluskan usul sebulat suara supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan berikutan PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka. Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, keputusan terkini itu belum dimaklumkan kepada kepemimpinan PKR. Bagaimanapun beliau berkata kerjasama PAS dan PKR yang menyaksikan kedua-dua parti itu bersama membentuk kerajaan Selangor dengan DAP diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

“Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahat dan kepentingan Islam dan rakyat,” kata Nik Muhammad Zawawi kepada media selepas mesyuarat Majlis Syura PAS, semalam.

Antara yang hadir ke mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu adalah anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi.

Meskipun kerjasama politik PAS-PKR sudah tamat, Nik Muhammad Zawawi tidak menolak kemungkinan bahawa perkara itu masih boleh dibincangkan.

Menghuraikan alasan untuk menamatkan hubungan dengan PKR, beliau berkata “begitu banyak pelanggaran terhadap syarat tahaluf siyasi antaranya adalah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 5:02am
d