mutakhir

Kes berkurang

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Jenayah indeks di Kuala Lumpur sejak Januari sehingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 22.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, 4,542 kes dicatatkan di ibu kota sejak Januari hingga semalam, berbanding 5,831 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kes membabitkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda menunjukkan penurunan, namun jenayah samun menunjukkan peningkatan 54 peratus.

“Justeru, kami berharap kewujudan kemudahan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang menggantikan Rakan Cop dapat mengurangkan lagi kadar jenayah di ibu kota,” katanya dalam Program Pencegahan Jenayah dan Majlis Pelancaran VSP Peringkat Kuala Lumpur di Flat Sri Sarawak, di sini, semalam.

Beliau berkata, program pencegahan jenayah membabitkan masyarakat dapat memberi kesedaran kepada orang awam khususnya berhubung kewujudan VSP sebagai medium terkini menyalurkan maklumat.

“VSP salah satu bidang di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilantik sebagai agensi pelaksana.

“PDRM mengharapkan kerjasama orang awam untuk memastikan keselamatan dan ia sejajar dengan konsep komuniti kepolisan iaitu orang awam memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada polis.

“Saya menyeru kepada ahli masyarakat khususnya penduduk sekitar, sekiranya terdapat sebarang perlakuan yang mencurigakan jadilah VSP kepada pasukan polis,” katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pesalah kerana ia menyalahi undang-undang.

“Sebaiknya pesalah ditahan perlu diserahkan terus kepada polis,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 5:09am
d