mutakhir

Kasut tiruan harga tulen

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Mahu kaut untung lumayan dengan menjual ratusan kasut berjenama terkenal tiruan sempena Ramadan akan datang.

Bagaimanapun, rancangan rapi diatur tiga peniaga barangan tiruan itu tidak kesampaian apabila tiga premis mereka di Danau Kota, Setapak diserbu sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.

Dalam operasi jam 11 pagi, ketiga-tiga premis berkenaan dikesan menawarkan kasut sukan tiruan yang kelihatan sama dengan produk tulen kepada pelanggan.

Selain reka bentuk dan kualiti, harga jualannya juga tiada beza dengan kasut tulen sehingga sukar untuk membezakannya.

Bagaimanapun, produk itu disahkan tiruan selepas wakil pemilik cap dagang sah tampil membuat pengesahan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, seramai 13 anggota dan pegawai menjalankan serbuan di dua premis di lokasi berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga premis ini dipercayai menjual kasut tiruan pada harga semurah RM50 hingga RM100 bergantung kepada jenis dan kualiti kasut.

“Dalam serbuan ini, KPDNKK merampas 850 kasut tiruan jenama Nike, Puma dan Converse. Semua kasut yang dirampas ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan kali ini dianggarkan RM30,610 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 5:16am
d