mutakhir

Tunjuk lesen dik

Oleh Faliq Lajim

Klang: Sebanyak 30 motosikal disita serta 73 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sekitar daerah ini, kelmarin.

Operasi selama sejam bermula jam 4.30 petang itu membabitkan dua pegawai serta 14 anggota yang melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal di Jalan Tanjung Syawal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik Selangor Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, kebanyakan penunggang yang diperiksa berusia antara 14 hingga 35 tahun.

“Dalam pemeriksaan berkenaan, 41 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai topi keledar,” katanya.

Menurutnya, 10 saman dikeluarkan untuk kesalahan tidak mempunyai lesen motosikal, tiada cukai jalan (10), memandu bawah umur (4), mengubahsuai kenderaan (3), nombor pendaftaran (3), cermin sisi (1) serta salah guna lesen (1).

Kamaludin berkata, tindakan mengeluarkan saman itu diharap dapat meningkatkan kesedaran pengguna motosikal terutama ketika berada di jalan raya.

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 5:31am
d